Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik
sekarang dikenali sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya
bernama Orang Kaya Nira Sura.
Badang diberikan tugas
oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di sebuah
bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.
Berhampiran
tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit
berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja.
Setelah
selesai sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi
di dalam upih pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah
dengan sambal garam, nasi sebungkus itu habis dimakannya.
Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-main di dalam air yang jernih.
Badang
terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba
tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat banyak boleh aku
bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat merasa ikan
tebarau, terbuk, dan lain-lain."
Sebelum Badang pulang,
dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis perangkap untuk
menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai. Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas.
Sebelum
mula kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang
ditahannya. Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan
tulang ikan di tebing sungai berhampiran lukahnya.
Badang
dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya telah
diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik
ikan. Dia berasa hairan.
Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama. Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.
Seperti
biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak
pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada
waktu malam.
Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa.
Setelah
sampai di tempat itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat
lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat kerana timbunan tulang ikan di
tepi sungai itu bertambah banyak.
Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal.
Badang bertambah hairan. "Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya. Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang
mencuri ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu.
Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa.
Apabila hari
sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk
mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah itu. Dia menyorok
di sebalik semak.
Apabila larut malam, datanglah satu
lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut
panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang. Lembaga itu
mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya.
"Wah,
hantu rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada
hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam hatinya.
Badang lalu
memberanikan dirinya, walaupun berasa seram. Dia segera menerkam dan
menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan. Namun, Badang
tidak melepaskan lembaga itu.
Akhirnya, lembaga itu
mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak
melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah.
Lembaga itu
merayu-rayu minta dilepaskan. "Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba
akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahu," ujar lembaga itu.
Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata lembaga itu benar?
Badang
cuba memikirkan apa yang dia mahu minta. Kalau minta banyak harta,
nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri cantik,
mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah
perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi gagah perkasa," kata Badang.
"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba," kata lembaga itu.
Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang.
Lembaga
itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi,
Badang pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis.
Lembaga itu minta dirinya dilepaskan.
"Belum
boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi
memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah
sebatang pokok besar.
Badang cuba mengangkat pokok itu
dengan sebelah tangannya. Pokok itu tumbang. Badang berasa sangat
gembira hajatnya termakbul.
Badang mengucapkan terima
kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi
tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan
berjanggut putih.
"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang
kamu sangkakan. Aku datang untuk menolongmu. Kamu seorang yang cekal,
tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian dia ghaib daripada
pandangan Badang.
"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.
Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.
Pada
keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan
bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia
telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut.
Tuannya,
Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh
Badang. Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya.
Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang
telah habis dibersihkan oleh Badang.
Orang Kaya Nira
Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan. Namun,
dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula.
Orang
Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka
Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di
istana Raja Temasik sebagai budak suruhan.
Pada suatu
hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri
menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda.
Badang
tidak lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan
istana raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting,
dia terpaksa menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke
tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam
itu terbelah dua. Namun, kepala Badang tidak cedera.
Permaisuri
berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri lalu pun memberitahu
kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan sendiri. Baginda
melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat
hairan akan peristiwa itu.
Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh Temasik.
Kemasyhuran
itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling datang ke Temasik
dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa dari negaranya. Pahlawan
itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk
beradu kekuatan dengan Badang.
Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata.
Maka
tibalah hari yang ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua
buah negara. Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan,
Pahlawan Gagah Perkasa dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan
Badang. Dia lalu menindih paha Badang dengan pahanya secara bergurau.
Namun,
Badang boleh mengangkat paha pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan
Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah Perkasa itu dalam hatinya.Pahlawan Temasik berasa sangat malu.Badang berasa sangat gembira.Mereka semua menggelar Badang seorang yang gagah perkasa.
sumber daripada ZOOM-A