Ishak Haji Muhammad (Pengarang dan Pejuang Kemerdekaan)

Ishak Haji Muhammad turut terkenal dengan panggilan nama Pak Sako. Beliau adalah salah seorang pengarang yang sangat terkenal di tanah air kita. Malah, beliau juga merupakan salah seorang tokoh pejuang kemerdekaan tanah air.

      Beliau dilahirkan pada bulan September 1909 di Kampung Bukit Saguntang, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah. Kemudian melanjutkan pelajarannya di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis dan Sekolah Inggeris Raub.

      Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas Dua, dan Guru Bahasa. Beliau juga pernah bertugas di akhbar 'Warta Malaya' dan 'Utusan Melayu'. Malah, beliau berjasa sebagai pengasas kepada penerbitan Utusan Melayu.

      Antara karya beliau yang sangat terkenal ialah novel 'Putera Gunung Tahan' dan 'Anak Mat Lela Gila'. Novel 'Putera Gunung Tahan' ditulis oleh beliau untuk menentang penjajahan Inggeris.

      Sebagai mengenang jasa beliau, Universiti Malaya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada beliau pada tahun 1976.

      Beliau meninggal dunia pada 7 November 1991 di Ulu Langat, Selangor.  

Tok Kenali (Ulama Termasyhur)

untuk pengetahuan anda semua, salah seorang ulama yang termasyhur di tanah air kita ialah Tok Kenali.      

      Nama sebenarnya Muhammad bin Yusoff. Lahir pada 1287 H (1870M) di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886). Semasa umur Tok Kenali lima tahun, bapanya meninggal dunia. Beliau dijaga oleh datuknya, Tok Leh.

      Semasa umurnya sembilan tahun, beliau belajar di Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu. Guru-gurunya antaranya ialah En. Idris, Haji Ibrahim (Mufti Kelantan) dan Syeikh Muhammad Ali bin Ab. Rahman (Wan Ali Kutan).

      Semasa berumur 18 tahun, dalam tahun 1305 H (1887M), beliau belajar di Mekah. Pemergiannya adalah dengan bantuan wang daripada kawan-kawannya sebanyak RM55.00 dan keluarganya sebanyak RM22.00.

      Di sana, beliau menumpang di serambi Mekah. Guru beliau di sana antaranya ialah Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Al Fatani dan beberapa orang guru dari Arab dan Indonesia. Pada tahun 1904, beliau berangkat ke Mesir bersama-sama dengan gurunya, Wan Ahmad.

      Beliau balik ke Kelantan pada tahun 1327 H (1909 M). Pada tahun 1329 H (1911 M), beliau membuka pondok di Kampung Kenali, Kubang Kerian. Dua tahun kemudian, beliau menjadi guru di Masjid Al-Muhammadi iaitu pusat pengajian Islam terbesar di Kelantan.

      Selepas dua tahun beliau membuka pondoknya, pengajian pondoknya  termasyhur ke seluruh Semenanjung, Indonesia (Sumatera), Patani, dan Kemboja. Ramai murid dari seluruh Nusantara datang belajar di pondoknya.

      Tok Kenali meninggal dunia pada hari Ahad, 19 November 1933 M dan disemadikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali.

      Beliau meninggalkan banyak jasanya terhadap negeri Kelantan. Antaranya ialah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 24 Disember 1915 (17 Safar 1334 H) dan Sekolah Agama menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu pada 5 Ogos 1917.

      Antara muridnya ialah Dr. Syaikh Muhammad Idris Al-Marbawi (pujangga Islam), Datuk Ahmad Mahir (Mufti Kelantan), Datuk Haji Hassan Yunus (bekas Menteri Besar Johor), dan ramai lagi tokoh yang terkenal di dalam dan di luar tanah air.


YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Bapa Kemerdekaan Malaysia)

 
       assalamualaikum, Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Selain itu, Allahyarham juga turut dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu (31 Ogos 1957) dan Bapa Kemerdekaan Malaysia (16 September 1963).

      Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj diputerakan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Ayahanda Allahyarham ialah Almarhum Sultan Abdul Halim Syah. Bondanya pula bernama Cik Manjalara.

      Sebelum kemerdekaan tanah air, Allahyarham dengan dibantu oleh beberapa orang rakannya dalam UMNO seperti Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail telah memperjuangkan tuntutan kemerdekaan tanah air. Usaha ini turut dibantu oleh kaum-kaum lain di tanah air ini.

      Akhirnya, perjanjian ditandatangani pada 8 Februari 1956 oleh semua pihak yang terlibat untuk merangka Perlembagaan Malaya. Seterusnya, membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

      Kepulangan 'Rombongan Merdeka' yang diketuai oleh Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman disambut dengan penuh meriah dan gemilang dalam suatu peristiwa bersejarah di Bandar Hilir Melaka.

      Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama pada tahun 1957 hingga 1970. Allahyarham meninggal dunia pada 6 Disember 1990.


 
Make a Free Website with Yola.